Bagaimana pendidikan boleh membentuk perpaduan ?

Persoalan besar yang dihadapi para pemimpin dan pendidik selepas Perang dunia Kedua ialah mencari formula untuk melahirkan satu masyarakat Malaysia yang bersatupadu, yakni masyarakat majmuk yang mempunyai keazaman, kesanggupan dan kesediaan untuk hidup bersama dengan rukun dan damai serta mempunyai kesedaran, keperibadian dan nilai-nilai sebagai rakyat Malaysia.
Satu cara yang penting untuk mewujudkan perpaduan di dalam sesebuah negara ialah menerusi pendidikan. Dalam konteks Malaysia, hakikat bahawa pendidikan merupakan faktor unggul dalam membina kerakyatan yang tunggal telah lama disedari. Berikut merupakan cara bagaimana sistem pendidikan boleh membentuk perpaduan:
1) Sistem persekolahan yang sama bagi semua
Pada asasnya Laporan Razak mencadangkan penubuhan sekolah-sekolah umum yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantarnya dan sekolah-sekolah jenis umum menggunakan bahasa pengantar Cina, Tamil dan Inggeris. Kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa untuk perpaduan jelas dinyatakan. Laporan ini telah menjadi rujukan sebagai dasar pendidikan kerajaan sehingga kini & bahasa Melayu telah menjadi bahasa pengantar di semua peringkat sekolah.
2) Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama.
Cara paling penting untuk menyatupadukan masyarakat berbilang kaum di Malaysia ialah melalui penggunaan bahasa kebangsaan. Penggunaan satu bahasa perhubungan dan persefahaman di antara satu kaum dengan yang lain dapat diwujudkan tanpa menimbulkan rasa curiga. Langkah ini mempercepatkan lagi perpaduan dan rasa hormoni antara kaum di negara ini.
3) Kurikulum yang sama
Kurikulum ialah satu rancangan pendidikan yang terkandung di dalamnya segala ilmu pengetahuan serta kemahiran, nilai-nilai dan norma, unsur-unsur kebudayaan dan kepercayaan yang telah menjadi pilihan masyarakat untuk diperturunkan kepada ahli-ahlinya. Peranan kurikulum dalam pendidikan adalah untuk membina perkembangan pelajar yang lengkap dari segi jasmani, rohani, akal dan emosi. Dalam konteks negara Malaysia, kurikulum juga berperanan untuk melahirkan rakyat yang mendokong cita-cita negara dalam mewujudkan perpaduan yang berpandukan Rukun Negara di samping menghasilkan tenaga rakyat yang terlatih untuk keperluan negara (modal insan).
4) Sukatan pelajaran yang seragam
Sukatan pelajaran yang sama isi kandungannya yang disyorkan oleh Penyata Razak adalah dianggap sebagai salah satu asas sistem pelajaran kebangsaan bagi mewujudkan perpaduan negara.
Mata pelajaran Sejarah memainkan peranan penting ke arah matlamat pembangunan. Melalui pelajaran Sejarah diharapkan dapat membina semangat perpaduan dan perasaan hormat menghormati terutama dalam masyarakat yang berbilang kaum, agama dan adat resam. Sukatan pelajaran yang seragam membolehkan pandangan dunia (world view) setiap kaum di Malaysia hampir sama & tidak mewujudkan perselisihan dalam persefahaman.
5) Peperiksaan yang seragam
Rancangan kerajaan untuk menyeragamkan kurikulum di sekolah-sekolah telah diperkukuhkan lagi dengan mewujudkan satu sistem peperiksaan yang seragam. Dengan adanya sukatan pelajaran dan peperiksaan yang seragam, pelajaran para pelajar tidaklah terganggu apabila terpaksa berpindah sekolah. Langkah ini boleh menolong proses menyatupadukan pelajar berbilang kaum di samping mewujudkan keperibadian yang sama.

Jika kita lihat sekarang, dasar pendidikan yang dijalankan kerajaan kini menampakkan hasilnya. Oleh itu, ditekankan bahawa pendidikan menjadi alat membentuk perpaduan kaum. Belajar & kajilah sejarah untuk mendapatkan manfaat berguna & meningkatkan kualiti hidup kita. Kita sepatutnya mencontohi Dr. Mahathir Mohamad yang rajin membaca & mengkaji bahan sejarah serta berjaya menaikkan nama Malaysia di persada dunia dengan kekuatan pembacaannya.

3 comments:

Mas said...

sangat membantu untuk assignment sy. tmekasih

nusca said...

me too... thanks a lot...

Kuku Pendek said...

Hi,terima kasih untuk entry yg sangat membantu mentuntaskan tugasan saya.

Countdown Sambutan Hari Kemerdekaan Negara