MALAYSIA terus gah di pentas politik antarabangsa. Kali ini, negara kita menerajui 57 anggota negara Parlimen Komanwel (CPA) apabila Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif bagi tempoh tiga tahun, sekali gus membuktikan kewibawaan dan keupayaan ahli Parlimen negara ini di peringkat dunia.
Ini selaras dengan prinsip Parlimen Malaysia dalam membawa sistem demokrasi berparlimen kelas pertama. Kejayaan Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan dilihat sebagai langkah proaktif dalam memperkasakan sistem demokrasi kepimpinan tinggi buat harapan dan masa depan CPA.
Sejarah CPA menyaksikan setiap pertandingan adalah dalam suasana keluarga dan hampir 70 tahun CPA diterajui oleh United Kingdom iaitu sejak ia diwujudkan pada 1911.
"Hanya sejak tiga tahun lepas, CPA dipimpin pengerusi dari India (Bengal Barat), jadi ramai yang berpandangan sudah sampai masanya Asia Tenggara juga diberi peluang memimpin di peringkat antarabangsa," kata Mohd. Shafie dengan wajah yang ceria.
Ini kali pertama Malaysia mencalonkan wakil bagi jawatan Pengerusi Jawatan Eksekutif CPA dan satu harapan besar dipertaruhkan. Mohd. Shafie berkata, beliau akan melakukan yang terbaik untuk mengangkat martabat negara, tidak akan menghampakan negara dan wilayah yang diwakili. Tanggungjawab yang paling berat adalah membetulkan persepsi negatif negara luar terhadap Malaysia.
Perkara ini menunjukkan bahawa cara demokrasi berparlimen negara kita menjadi pilihan anggota negara Parlimen Komanwel (CPA). Perpaduan yang diwujudkan berjaya menambat hati negara-negara Komanwel.
DEMOKRASI BERPARLIMEN MALAYSIA PILIHAN ANGGOTA KOMANWEL
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment