KEJAYAAN DEMOKRASI MALAYSIA JADI CONTOH – Berita Harian

KEJAYAAN Malaysia mengekalkan dasar demokrasi berparlimen sejak mencapai kemerdekaan 51 tahun lalu dengan kesinambungan kemakmuran ekonomi dan keamanan di kalangan rakyat pelbagai bangsa menjadi inspirasi kepada negara dunia ketiga, khususnya anggota Komanwel.

Naib Presiden Persatuan Parlimen Komanwel (CPA), Samuel John Sitta, berkata suasana Malaysia bertepatan dengan asas penubuhan CPA yang menekankan perpaduan di kalangan pelbagai bangsa kaum dan agama.

“Kebanyakan anggota Komanwel terutama negara Afrika, dibelenggu perang saudara, masalah perkauman dan keganasan yang melumpuhkan ekonomi.
“Isu ini kita tidak boleh selesaikan bersendirian, sebaliknya perlu ada model untuk dijadikan ikutan dan saya percaya Malaysia boleh memainkan peranan membantu rakan Komanwel mengatasi krisis dalaman seumpama ini,” katanya, di sini semalam.
“Kita sebagai ahli Parlimen harus menggesa kerajaan masing-masing menggubal dasar yang menyokong usaha ini,” katanya dalam ucapan terima kasih kepada tuan rumah Persidangan Parlimen Komanwel Ke-54, di sini semalam.

Majlis itu dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mewakili Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Hadir sama, Setiausaha Agung Persatuan Parlimen Komanwel (CPA), Dr William F Shija; Yang Di Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Abdul Hamid Pawanteh dan Yang Di Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Sidang 10 hari bermula Sabtu lalu bertema 'Memperluaskan Peranan Parlimen Peringkat Global: Menangani Isu Alam Sekitar, Pembangunan dan Keselamatan' itu disertai kira-kira 800 ahli Parlimen dari 57 negara anggota Komanwel.

Kata Sitta, perubahan iklim dunia yang mencetuskan bencana alam seperti taufan, banjir, kemarau, peningkatan paras laut serta pemanasan global sudah cukup memeritkan kehidupan dan tidak perlu diburukkan lagi dengan perbalahan sesama manusia.
Katanya, usaha bersepadu perlu digerak secepat mungkin untuk mewujudkan kerjasama peringkat antarabangsa bagi memastikan pembangunan mapan ekonomi sejagat.

Sitta, yang juga Speaker National Assembly of Tanzania, turut mengucapkan selamat menyambut hari Kemerdekaan Malaysia ke-51 pada 31 Ogos ini.

No comments: